Portal Rasmi KSAH | Copyright: Kolej Sultan Abdul Hamid©

updated: 24/01/17

Selamat Datang Ke Portal Rasmi Kolej Sultan Abdul Hamid > Kenali Kami > Sejarah > Pengenalan

PENGENALAN

KSAH diasaskan pada 8 Disember 1908 sebagai Government English School (GES) di sebuah bangunan berhampiran Balai Nobat, Alor Star. Pengetua pertamanya ialah Encik Mohamad Iskandar (bapa Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad). GES merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah. Pada tahun 1911, GES dipindahkan ke Jalan Penjara Lama  (belakang IPD Kota Setar) dan sekali lagi dipindahkan ke Jalan Langgar (tapak yang ada sekarang) pada tahun 1917. Pada tahun 1935 nama GES telah ditukar menjadi Sultan Abdul Hamid College (SAHC).

Sejak penubuhannya, KSAH telah melalui rentetan sejarah perkembangan yang panjang. Banyak perubahan telah berlaku dari masa ke semasa. Bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai, bilik darjah telah ditambah di kedua-dua ”wing” kiri dan kanan bangunan utama. Bangunan asrama (lelaki) dan sebuah bangunan perpustakaan (Stuart Library) telah didirikan pada tahun 1930. Kemudiannya sebuah dewan besar dan bangunan makmal sains dibina pada tahun 1939. Semasa Perang Dunia Kedua, sekolah terpaksa ditutup dan telaah dibuka semula pada tahun 1945. Pada tahun 1956, pentadbiran KSAH telah diasingkan kepada Kolej ”primary” dan Kolej ”secondary”. Sejak dari itu wujudlah sebuah sekolah rendah yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Iskandar yang terletak dalam tapak yang sama dengan KSAH.

KSAH terus berkembang maju selepas negara mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1999, KSAH telah diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri sebagai Sekolah Premier Negeri. Pada tahun yang sama KSAH telah melaksanakan Projek Sekolah Bestari mengikut acuannya sendiri. Dengan sokongan Persatuan Bekas Pelajar KSAH (SAHOCA) dan Multimedia Development Corporation (MDEC) yang bertindak sebagai jururunding untuk tempoh empat tahun, projek tersebut telah menyaksikan perubahan yang ketara dari segi infrastruktur, proses pengajaran dan pembelajaran serta peningkatan ilmu, kemahiran dan penggunaan ICT di kalangan warga KSAH.

Sebagai institusi yang paling awal memberikan pendidikan formal dalam Bahasa Inggeris, sumbangan KSAH dalam melahirkan anak negeri yang terpelajar terutamanya dalam era sebelum negara mencapai kemerdekaan sangatlah bermakna khususnya terhadap pembangunan Negeri Kedah.

Antara bekas pelajar KSAH ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Haj Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman; Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah Darul Aman; Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Tunku Anuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Negeri Kedah Darul Aman dan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggung Negeri Kedah Darul Aman.

Bersesuaian dengan moto untuk melahirkan ”Scholar, Sportsman, Gentleman”, KSAH telah berjaya melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. KSAH amat berbangga menjadi alma mater kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama (1957 - 1970) dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri keempat (1981 - 2003).

KSAH juga berjaya melahirkan lima orang Menteri Besar Kedah Darul Aman, tiga orang Menteri Kabinet, seorang Ketua Setiausaha Negara, lima orang Ketua Hakim Negara, seorang Yang Di Pertua Dewan Rakyat dan Presiden PBB ke-51.

KSAH telah menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun 2008. KSAH yakin akan mencetuskan lebih banyak perubahan yang bakal menyaksikan KSAH menjadi lebih cemerlang sebagai sebuah sekolah premier yang terkemuka dan terus unggul dengan slogan ”Menjunjung Warisan dan Wawasan”.

Tambahan: (dibuat pada 05/01/17)

Pada 18/05/16 satu lagi sejarah tercipta apabila Dewan Centennial Sultan Abdul Halim yang merupakan satu lagi mercu tanda baharu bagi KSAH telah dirasmikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah mewakili KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

Satu lagi catatan sejarah tercatat bersempena dengan perasmian Dewan Centennial Sultan Abdul Halim ialah pengumuman perubahan nama dua buah rumah sukan. Rumah Sultan diubah menjadi Rumah Halim & Rumah Kedah pula diubah menjadi Rumah Malik.

Pada tahun 2016 juga menyaksikan Asrama KSAH dikenali dengan nama Hostel Raja Muda Tunku Abdul Malik.

 

SEJARAH

> Pengenalan

> Perkembangan

> Pengetua

> Collegian of the Century

> Collegian of the Year

> Lestari Sukan

> KSAH 100 Tahun

> Asrama 

 

 

Penafian: Kolej Sultan Abdul Hamid tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Mana-mana agensi yang dirujuk dalam laman web ini tidak boleh dianggap sebagai agen yang disyorkan oleh            Kolej Sultan Abdul Hamid.

::: Dibangunkan oleh: Jawatankuasa Pembestarian Sekolah KSAH :::