Portal Rasmi KSAH | Copyright: Kolej Sultan Abdul Hamid©

updated: 24/01/17

Selamat Datang Ke Portal Rasmi Kolej Sultan Abdul Hamid > Kenali Kami > Sejarah > Perkembangan

PERKEMBANGAN

Pendahuluan

Sejarah ‘The Goverment English School’ (GES)  bermula pada tahun 1908. GES merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah. Encik Mohamad Iskandar (bapa Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad) seorang guru kanan di Penang Free School dijemput menjadi pengetua pertama. GES ditukar nama kepada Sultan Abdul Hamid College (SAHC) pada tahun 1935

 Sekolah Pertama

SAHC: 1908Bangunan pertama merupakan sebuah bangunan kayu yang terletak di antara Mahkamah Tinggi dengan Balai Nobat. Bangunan tersebut pernah digunakan sebagai pejabat Menteri Besar iaitu YAB Encik Wan Md. Saman. Penubuhan sebuah sekolah Inggeris tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu tempatan kerana takut anak-anak mereka menjadi Kristian. Encik Mohamad Iskandar dengan bantuan Haji Wan Sulaiman (Sheikh-ul-Islam) berusaha meyakinkan ibubapa Melayu bahawa beliau pernah belajar di sekolah Inggeris. Usaha tersebut akhirnya berjaya menambah bilangan pelajar. Encik Mohamad Iskandar turut menjalankan kempen dari rumah ke rumah untuk menarik lebih ramai pelajar. Atas kerjasama Kapitan Cina, seramai 25 orang pelajar Cina (berumur 7 hingga 16 tahun) juga mendaftar di GES. Untuk meningkatkan pertambahan bilangan pelajar, pendaftaran dibuat tiap-tiap bulan dan tiada had umur dikenakan.

Setelah kuasa pemerintahan Kedah berpindah dari Siam ke British, enrolmen semakin bertambah. Menjelang 1910, bilangan pelajar sudah melebihi 50 orang. Encik Mohd. Salleh dilantik menjadi guru penolong ketika itu. Apabila Encik Mohamad Iskandar meninggalkan GES pada tahun 1910 (kemudian menjadi pengetua Pekan English School pada tahun 1911), Encik M. I. Merican (seorang guru kanan dari Penang Free School dan juga sahabat Yang Mulia Tunku Ibrahim) telah dilantik menjadi pengetua. Bangunan yang kecil akhirnya menyebabkan pembelajaran terpaksa diadakan di bawah pokok kerana tidak dapat menampung peningkatan pertambahan bilangan pelajar.

Sekolah Kedua

SAHC: 1911Pada tahun 1911, sebuah rumah batu di Jalan Penjara Lama (di belakang Ibupejabat Polis Daerah Kota Setar sekarang) disewa. Namun didapati kurang sesuai kerana bilik-bilik rumah tersebut bukan sahaja kecil tetapi juga gelap. Bilangan pelajar yang semakin bertambah menyebabkan ruang tidak mencukupi. Akibatnya, ada pelajar yang terpaksa duduk di atas lantai. Menjelang 1912, enrolmen meningkat menjadi 160 orang (103 Melayu, 43 Cina, 11 India & 3 Siam). Disebabkan kekurangan kemudahan dan guru terlatih, pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran terpaksa menyambung pelajaran mereka di Penang Free School atau Malay College Kuala Kangsar. Ada juga yang mula bekerja kerana lepasan Standard 4 sudah layak mendapat kerja.

Oleh kerana gaji yang terlalu rendah, biasanya pengetua atau guru-guru tidak kekal lama bertugas di GES. Pada masa tersebut, seorang guru penolong hanya dibayar sebanyak RM30.00 sahaja. Ramai yang lebih suka berkhidmat di jabatan lain. Sebagai contoh, Encik M. I. Merican telah menamatkan perkhidmatannya sebagai pengetua di GES pada tahun 1913 untuk bertugas sebagai pegawai Kedah Civil Service (KCS). Tempat beliau sebagai pengetua telah diambil oleh Encik Manaf. Namun begitu, menjelang 1919 gaji bulanan telah dinaikkan ke RM90.00 sebulan dengan cuti tahunan sebanyak 15 hari.

Perancangan yang rapi dan teratur demi masa depan pendidikan negeri, tenaga kerja yang lebih berkelayakan diperlukan. Justeru itu, pada tahun 1914, Mr. E. A. G. Stuart, seorang guru penolong di Malay College Kuala Kangsar telah dilantik menjadi pengetua. Pada masa yang sama beliau turut menjawat jawatan Superintendent of Education (sekarang Pengarah Pelajaran) negeri Kedah.

Bangunan Sekarang

Lokasi Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) sekarang di Tanjung Bendahara iaitu seluas 48 ekar dipilih oleh Cik Mohamed Ariffin (Setiausaha Kerajaan) dan Encik M. I. Merican. Pembinaan sekolah bermula pada tahun 1915. Bangunan tersebut terdiri daripada sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi dua buah bilik darjah di kiri dan kanan. Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai perancangan untuk pembangunan masa depan GES. Perancangan tersebut termasuklah ruang yang mencukupi untuk membina bilik-bilik darjah agar dapat menampung sekurang-kurangnya 1,000 orang pelajar, padang permainan dan beberapa kemudahan asas yang lain.

SAHC: 1917Sekolah ini dibuka dengan rasminya pada 1 Januari 1917 oleh Mr. E. A. G. Stuart, pengetua dan juga Superintendent of Education. Pada ketika itu, padang permainan menjadi tumpuan kerbau berkubang terutama pada masa hujan. Pelajar-pelajar pula masih berkaki ayam ke sekolah. Tempayan yang berisi air disediakan di luar kelas untuk membolehkan pelajar-pelajar membasuh kaki sebelum memasuki kelas. Pakaian pelajar tidak berubah sejak tahun 1908 iaitu pelajar Melayu kebanyakannya tidak suka memakai seluar pendek. Mereka datang ke sekolah dengan berkain sarung dan berbaju Melayu sementara pelajar-pelajar Cina masih bertocang (pig tails).

Waktu pembelajaran terdiri daripada dua sesi. Sesi pertama bermula dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari, manakala sesi kedua dari 2.00 hingga 4.00 petang (berupa ‘prep’ di bawah penyeliaan guru). Pelajar boleh bermain selepas waktu tersebut. Enrolmen pelajar pada tahun 1917 meningkat kepada 223 orang dengan 11 orang guru termasuk pengetua. Namun begitu, daripada 11 orang guru hanya tiga sahaja guru terlatih. Justeru itu, guru-guru lain terpaksa dilatih oleh Mr. E. A. G. Stuart sendiri sehingga berjaya memperoleh kelayakan ‘Associateship of the College Preceptors’ iaitu pengiktirafan dalam profesion perguruan dan mereka layak memakai ‘academic gown’.

Dengan bertambahnya bilangan pelajar (400 orang pada tahun 1926), perancangan baru perlu dibuat. Bangunan ditambah dan dicadangkan pembinaan sebuah asrama yang dapat menampung sekurang-kurangnya 50 orang pelajar dari luar kawasan Alor Star. Asrama yang lebih besar membolehkan lebih ramai pelajar dari luar bandar berpeluang belajar di sekolah Inggeris dan jika tidak sekolah tersebut hanya memberi faedah kepada pelajar-pelajar bandar sahaja.

Bebanan kerja menyebabkan Mr. E. A. G. Stuart terpaksa meletak jawatan sebagai pengetua untuk memberi tumpuan yang lebih di Jabatan Pelajaran (pada masa itu terletak di atas Pejabat Pos Besar Lama). Sebagai ganti, Mr. E. C. Hicks, penolong kanan telah dilantik menjadi pengetua pada tahun 1926.

Mr. E. A. G. Stuart meninggal dunia di Pulau Pinang pada tahun 1927. Untuk mengenang jasa beliau terhadap perkembangan GES, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bertujuan membina sebuah perpustakaan. Kerajaan negeri berjanji akan menderma amaun yang sama dengan jumlah kutipan daripada orang awam. Guru-guru GES turut menderma iaitu sebanyak RM 600.00. Hasilnya The Stuart Library yang memakan belanja RM12,000.00 siap dibina pada tahun 1930 dan diisi dengan lebih 2,000 naskah buku sumbangan mendiang Mr. E. A. G. Stuart.

Kemajuan SAHC

SAHC: 1925Pada tahun 1920, pelajar-pelajar GES mula menduduki peperiksaan Junior Cambridge. Namun begitu, keputusannya adalah mengecewakan. Penyertaan pelajar dalam peperiksaan Senior Cambridge (School Certificate) pada tahun 1923 juga tidak memberangsangkan. Prestasi peperiksaan yang lemah berterusan untuk beberapa tahun. Dalam usaha membawa perubahan, Mr. Young (pengetua) dan guru-guru bekerja keras dan akhirnya pada tahun 1933 keputusan peperiksaan Senior Cambridge adalah lebih baik. Nama GES ditukar menjadi SAHC pada 25 Oktober 1935.

Pada tahun 1936 iaitu semasa Mr. Wilson menjadi pengetua SAHC, keputusan peperiksaan Junior dan Senior Cambridge adalah antara terbaik di seluruh negara. Mr. Wilson telah membawa banyak perubahan kepada SAHC. Semasa pentadbiran beliau menyaksikan beberapa bangunan ditambah seperti pavilion, tambahan kepada asrama, makmal sains dan dewan perhimpunan. Aktiviti-aktiviti kokurikulum telah dipergiatkan dan hasilnya muncullah Photographic Society, Riffle Club, Rugger Interhouse Competition, dan pengenalan sistem rumah bagi mengantikan sistem division.

Pada masa itu SAHC mendapat sokongan dari luar. Sebagai contoh, Mr. Jones, penasihat British, melatih pelajar dalam kriket, Mr. Lancaster (Pegawai Veterina), Dr. Campbell (Pegawai Perubatan), Encik Mohd. Zain Ariffin (KCS) dan lain-lain dalam permainan ragbi. Justeru, SAHC mendapat kejayaan cemerlang pada tahun 1935 dengan mengalahkan Bukit Mertajam High School, Butterworth Cricket Club dan Clifford School (Kuala Kangsar). Pada tahun berikutnya, SAHC mengalahkan King Edward VII School (14 - 3), Bukit Mertajam High School (8 - 3) dan Penang Free School (19-3).

Mr. T. J. Thomas menggantikan Mr. Wilson sebagai pada Januari 1937. Pada masa tersebut, SAHC sudah mempunyai ramai guru terlatih yang mantap dalam bidang masing-masing. Keputusan peperiksaan Senior Cambridge meningkat khususnya dalam mata pelajaran Geografi dan Matematik yang diajar oleh dua guru yang berpengalaman – Mr. J. F. Augustin dan Encik M. Y. Ariffin. Pencapaian tersebut juga dikatakan mempunyai kaitan dengan Mr. T. J. Thomas yang dikenali sebagai seorang pengetua yang tegas dan sering menggunakan rotan untuk melihat perubahan kepada pelajar-pelajarnya.

Mr. T. J. Thomas diganti oleh Mr. L. D. Whitefield dari Anderson School (Ipoh) pada tahun 1939. Namun begitu, beliau hanya memegang jawatan pengetua selama beberapa bulan sahaja kerana beliau dilantik menjadi Superintendent of Education. Capt. B. Preedy dari Clifford School (Kuala Kangsar) dilantik menjadi pengetua SAHC pada tahun 1940 sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Peperangan Dunia Kedua

Keadaan bangunan selepas peperangan amat menyedihkan. Sambungan elektrik terputus, alatan elektrik dan perabot hilang. Pintu-pintu terkopak dan sesetengah dinding dirobohkan. Bilik sains juga musnah sementara kesan darah kelihatan di lantai dan kawasan sekitar berbau busuk. Semasa perang SAHC pernah digunakan oleh Tentera Kebangsaan India (The Indian National Army). Padang permainan penuh dengan lubang yang digali oleh askar Jepun (tanah liat digunakan untuk membuat model kereta perisai bertujuan memperdayakan juruterbang-juruterbang Tentera Bersekutu). SAHC dibuka semula pada 15 Oktober 1945. Kesan peperangan sangat teruk. Seorang guru meninggal akibat kebuluran, seorang meninggal sebaik sahaja sekolah dibuka dan seorang lagi terpaksa berhenti kerja kerana didapati kurang siuman. Ramai juga pelajar senior sudah pun berumah tangga. Ramai juga menjadi penagih rokok dan kaki botol. Dengan usaha gigih Mr. J. F. Augustin (pengetua) dan guru-guru yang paling senior sebelum perang meletus, SAHC dapat dibaik pulih dalam beberapa bulan. Tidak lama kemudian, Mr. J. F. Augustin ditukarkan ke Ibrahim School pada tahun 1946.

Buat beberapa bulan, Capt. G. E. Marrison (seorang pegawai Punjab Regimen yang bertugas di Kedah) dilantik buat sementara menggantikan Mr. J. F. Augustin sehinggalah Mr. E. F. Tiddeman menjadi pengetua berikutnya pada tahun 1946. Beliau dibebankan dengan pertambahan bilangan pelajar yang mendadak. Masalah utama yang dihadapi oleh pengetua-pengetua selepas perang adalah mengenai enrolmen. Bilangan bilik darjah tidak bertambah, sebaliknya pertambahan bilangan pelajar sudah tidak terkawal. Walaupun ramai diantara pelajar sudah berusia (old man), namun mereka masih diterima belajar bagi mengelak kemungkinan dipengaruhi oleh anasir-anasir komunis. Terdapat juga sebilangan besar pelajar yang ‘dinaikkan’ ke kelas yang lebih tinggi setiap tahun walaupun mereka gagal dalam peperiksaan. Pada tahun 1953, Mr. Ogle, pengetua berikutnya bercadang menyingkirkan pelajar-pelajar tua sekiranya mereka gagal dalam peperiksaan. Walaupun tindakan tersebut mendapat tentangan beberapa pihak, namun lebih daripada 150 orang pelajar telah dikeluarkan pada tahun tersebut.

Kemasukkan pelajar-pelajar perempuan (dari Kg. Baharu Girls’ School) ke SAHC pada tahun 1948 adalah bersifat sementara sahaja khusus untuk memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran ke tingkatan yang lebih tinggi. Pada tahun 1951, pengambilan pelajar perempuan diberhentikan kerana Kg. Baharu Girls’ School sudah mempunyai kemudahan yang cukup.

Pembangunan Fizikal

SAHC: 1970'sSejarah juga menunjukkan Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) mengalami banyak perubahan dari segi infrastruktur dan pembangunan fizikal. Pada akhir tahun 1960-an menyaksikan pembinaan gelanggang tenis. Ini diikuti dengan pembangunan-pembangunan fizikal yang lain seperti blok dua tingkat Tingkatan 6 berhampiran Sekolah Kebangsaan Iskandar (1969), pengubahsuaian Bilik Bengkel Pertukangan Kayu menjadi Makmal Sains, Bilik Pendidikan Seni dan Bilik Mesyuarat (1970) yang kemudiannya diubahsuai lagi menjadi Bilik Tayangan AVA (pada tahun 1980-an), kantin baru di tapak yang ada sekarang (asalnya tapak gelanggang tenis tanah liat) bagi menggantikan kantin lama berhampiran dengan tapak lama gelanggang sepak takraw (1970), Asrama B (1979), blok tiga tingkat Tingkatan 6 (1985), laluan berbumbung dari Blok Perdana ke Dewan Iskandar (1991), pavilion baru (1992), kerja-kerja menambun padang permainan (1992), dua buah Makmal Komputer iaitu dengan mengubahsuai bangunan yang sedia ada iaitu Bengkel Pertukangan Kayu dan Bilik AVA (1998), gelanggang tenis diperbaiki/diperbahurui (2001), Blok Perdana dibaikpulih (2001), gelanggang baru sepak takraw (2002).

Pembangunan tidak terhenti kerana pelbagai perubahan telah, sedang dan akan berlaku. Perancangan yang rapi dan pelbagai usaha dijalankan oleh pihak pentadbiran, PIBG dan SAHOCA (Sultan Abdul Hamid Old Collegians’ Association) untuk memartabatkan KSAH sebagai sebuah sekolah premier yang terkemuka di negara kita.

Pemantapan Program Akademik

Selaras dengan konsep pendemokrasian pendidikan, usaha-usaha untuk menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas sentiasa diberi tumpuan oleh pihak pengurusan. Justeru itu, langkah-langkah untuk memantapkan program akademik telah dilaksanakan. Selaras dengan perkembangan semasa, mata pelajaran dan dasar baru diperkenalkan di KSAH.

Perkembangan tersebut memperlihatkan pengenalan kepada mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan (1998), Teknologi Kejuruteraan (1998), Teknologi Maklumat (2000), English for Science and Technology (2003), Pendidikan Muzik (2003), pelaksanaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (2003), Bahasa Cina (2004) dan Sivik dan Kewarganegaraan (2005).

Perubahan-perubahan dasar pula memperlihatkan kelas-kelas Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) dipindahkan ke SMK Tunku Abdul Malik (1999), pelaksanaan pengambilan pelajar masuk ke Tingkatan 1 hanya berdasarkan kelayakan akademik pencapaian UPSR 5A dan 4A 1B sahaja (2002) serta pelaksanaan 100% aliran sains dan teknologi di peringkat Tingkatan 4 dan 5 (2002). Perkembangan sejarah juga menyaksikan pengenalan konsep Rumah Sekolah menggantikan Rumah Sukan (2002) dan penggunaan sistem Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP) dalam pelaksanaan sistem peperiksaan dalaman (2003).

Rentetan Peristiwa

Menyingkap perkembangan KSAH yang panjang dan berliku memperlihatkan wujudnya rentetan peristiwa-peristiwa penting dalam lipatan sejarahnya. Antaranya ialah:

  • 1973 : Pembelian sebuah bas (lebih dikenali dengan ‘Bas Toyu’ di kalangan warga KSAH) untuk kegunaan pelajar. Bagaimanapun bas tersebut terlibat dengan kemalangan di Sungai Petani dan sebuah bas lain (bas pendek/Thiru) dibeli sebagai ganti.

  • 1985 : Bas KU 1908 dibeli oleh PIBG KSAH.

  • 1992 : Kunjungan YAB. Dr. Mahathir Mohamad sempena Hari Anugerah Cemerlang.

  • 2 Oktober 1998 : Kunjungan YAB. Dr. Mahathir Mohamad bagi merasmikan Makmal Komputer.

  • 1999 : Pelaksanaan projek Sekolah Bestari (Smart School) di bawah seliaan Multimedia Development Corporation

  • 15 Julai 2001 : PIBG KSAH menerima sebuah bas (JDD 2666) sumbangan Rahman Brothers.

  • 2002 : Penubuhan Kombo dan Orkestra KSAH sebagai pelengkap kepada Pasukan Pancaragam KSAH.

  • 8 April 2002 : Penyerahan bas Kementerian Pelajaran Malaysia (WJW 9157) oleh Pengarah Pelajaran Kedah kepada KSAH.

  • 13 September 2002 : Kunjungan YAB. Dr. Mahathir Mohamad sempena dengan Program Pemimpin Bersama Rakyat.

  • 7 Disember 2002 : Perasmian Galeri KSAH dan Pelancaran Tabung Dana Pembangunan KSAH oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

  • 29 Jun 2003 : Penyerahan Projek Sekolah Bestari KSAH oleh Multimedia Development Corporation.

  • Julai 2003 : KSAH diberi taraf Pusat Tanggungjawab (PTJ)

  • 24 Julai 2008 : Majlis Tahlil & Forum Perdana KSAH 100 Tahun (Bertempat Di Masjid Zahir, Alor Setar)

  • 25 Julai 2008 : Centennial Banquet (Bertempat Di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman.

  • 26 Julai 2008 : Majlis Sambutan KSAH 100 Tahun (CCD).

  • 18 September 2010 : Pelancaran Tabung Dewan Centennial KSAH oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

  • 2011 : Upacara Pecah Tanah Dewan Centennial KSAH oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

  • 2013 : Pelaksanaan Plan Tindakan Guru

  • 2014 : Pembinaan Dewan Centennial KSAH.

  • 18 Mei 2016 : Perasmian Dewan Centennial Sultan Abdul Halim oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah mewakili KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman pada 18/05/16.

  • 18 Mei 2016 : Penguman perubahan nama rumah-rumah sukan. Rumah Sultan diubah menjadi Rumah Halim & Rumah Kedah diubah menjadi Rumah Malik. Pengumuman dibuat semasa majlis perasmian Dewan Centennial Sultan Abdul Halim.

Program Pembestarian Sekolah

Kewujudan makmal komputer multimedia hasil sumbangan Encik Mirzan bin Mahathir (bekas pelajar KSAH) pada tahun 1998. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, KSAH telah melaksanakan program Projek Sekolah Bestari mengikut acuannya sendiri mulai tahun 1999. Melalui SAHOCA, Multimedia Development Corporation (MDC) telah bermurah hati bertindak sebagai jururunding kepada projek tersebut untuk tempoh empat tahun. Pelaksanaan projek tersebut menyaksikan perubahan yang ketara dari segi infrastruktur, proses pengajaran dan pembelajaran serta peningkatan ilmu dan kemahiran ICT di kalangan warga KSAH. Setelah tamat tempoh seliaan, MDC telah menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

[ klik di sini ]

KSAH 100 Tahun

SAHC: 2008KSAH berusia 100 tahun pada 2008. Selain warga KSAH, Kerajaan Negeri, SAHOCA dan PIBG turut terlibat dalam persiapan tersebut. Sambutan KSAH 100 Tahun diadakan sempena perayaan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan. KSAH yakin bahawa sambutan tersebut akan mencetuskan lebih banyak perubahan yang bakal menyaksikan KSAH menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

 Nota:

Sejarah KSAH yang dipaparkan asalnya dipetik dari esei bertajuk “Sejarah dan Perkembangan Kolej Sultan Abdul Hamid” ditulis oleh Mr. Ho Yock Koon (guru KSAH - telah bersara pada akhir tahun 2010) & diterbitkan di Majalah Darulaman (majalah KSAH) edisi 2002. Esei tersebut telah diedit semula selaras dengan perkembangan semasa.

 

SEJARAH

> Pengenalan

> Perkembangan

> Pengetua

> Collegian of the Century

> Collegian of the Year

> Lestari Sukan

> KSAH 100 Tahun

> Asrama

 

 

Penafian: Kolej Sultan Abdul Hamid tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan, kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Mana-mana agensi yang dirujuk dalam laman web ini tidak boleh dianggap sebagai agen yang disyorkan oleh            Kolej Sultan Abdul Hamid.

::: Dibangunkan oleh: Jawatankuasa Pembestarian Sekolah KSAH :::